KURIKULUM STANDARD SEKOLAH
RENDAH (KSSR)
Transformasi Kurikulum
Transformasi Kurikulum Kebangsaan bertitik tolak daripada
keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.6/2008 yang dipengerusikan oleh
Y.B. Menteri Pelajaran pada 23 Mei 2008. Satu usaha penambahbaikan dalam sistem
pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu dilaksanakan
supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan cabaran semasa serta akan
datang. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan
satu kajian dan mendapati wujudnya keperluan untuk melakukan transformasi
kurikulum sekolah rendah.
Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula
dan penambahbaikan kurikulum persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi
adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan
nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21.
Fokus transformasi kurikulum persekolahan rendah adalah kepada kemahiran
membaca, menulis dan mengira (3M), sebaliknya mengambil kira kemahiran
penaakulan, kreativiti dan inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
serta elemen keusahawanan.
Dalam proses transformasi kurikulum persekolahan rendah, KPM telah
melakukan penandaarasan dengan kurikulum persekolahan negara maju bagi
memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan yang dibangunkan setanding dengan
pendidikan global. Di samping itu, KPM turut mendapatkan input daripada
pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, industri, akademik
dan ibu bapa. Berdasarkan kepada input-input tersebut maka konsep kurikulum
persekolahan rendah berasaskan standard dibangunkan.
Lanjutan daripada itu, konsep kurikulum persekolahan rendah
mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2
Oktober 2009. KPM membangunkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan
berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum yang dibangunkan turut
melibatkan kurikulum Pendidikan Khas. Bagi memastikan kurikulum tersebut
mantap, pelaksanaan rintis telah dilakukan di sekolah rendah terpilih di
seluruh negara.
Hasrat KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah berhasrat untuk melahirkan insan
yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang
komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika,
keterampilan diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai
Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. KSSR mengambil kira cabaran abad
ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini. KSSR juga
mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui
(learning to know), belajar untuk
bertindak (learning to do), belajar
untuk hidup bersama (learning to live
together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).
Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:
- Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani
dan sosial
- Warganegara yang bertanggungjawab
- Warganegara yang boleh berperanan di arena global (Global Player)
- Pekerja berilmu
Prinsip KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah mengekalkan kesemua prinsip
KBSR. Prinsip ini dikekalkan kerana masih sesuai dan relevan untuk melahirkan
insan yang seimbang dan holistik. Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti
berikut:
Pendekatan Bersepadu
Tumpuan utama diberikan kepada pendekatan bersepadu. Unsur-unsur
pengetahuan, kemahiran dan nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi
intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial.
Perkembangan Individu Secara Menyeluruh
KSSR digubal untuk memastikan semua mata pelajaran berperanan
untuk memenuhi keperluan intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Setiap
potensi murid dikembangkan secara bersepadu.
Pendidikan Saksama Untuk Semua Murid
KSSR memberi peluang yang luas dan saksama kepada semua murid
untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang menyeluruh dan seimbang.
Pendidikan Seumur Hidup
KSSR menyediakan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh
semua murid sebagai asas untuk menghadapi cabaran kehidupan seharian dan
pendidikan sepanjang hayat.
Bentuk Kurikulum
Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam KSSR, merupakan satu
bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai. Konsep ini berfokus
kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani,
intelek dan sosial.
Enam tunjang dikenal pasti mewakili bidang ilmu, kemahiran dan
nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang berfikiran kreatif,
kritis dan inovatif. Tunjang-tunjang tersebut menggambarkan penstrukturan
secara eksplisit bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu dikuasai murid.
Setiap tunjang saling berhubung kait dan bersepadu.
Tunjang Komunikasi
Tunjang Komunikasi memberi penekanan kepada proses menggabung
jalin kemahiran berbahasa dalam bentuk lisan dan bukan lisan semasa
berinteraksi. Tunjang ini memberi fokus kepada kemahiran bahasa seperti
mendengar dan bertutur, membaca dan menulis, serta nilai tambah menaakul.
Murid perlu menguasai kemahiran ini bagi membantu mereka dalam
proses pemerolehan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam tunjang-tunjang
yang lain. Penguasaan kemahiran berbahasa menyediakan murid untuk membuat
pemilihan bahasa yang bertepatan dan sistematik dalam interaksi sosial.
Disiplin ilmu dalam Tunjang Komunikasi ialah Bahasa Malaysia,
Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah
Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun
dan Bahasa Semai.
Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika
Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika memberi penekanan kepada
perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri dan pemupukan daya
imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi. Disiplin ilmu yang membangunkan
aspek fizikal ialah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Kreativiti,
bakat dan apresiasi dipupuk melalui Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan
Muzik.
Tunjang Kemanusiaan
Tunjang Kemanusiaan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan
amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan
global, serta penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan. Disiplin ilmu
yang terdapat dalam Tunjang Kemanusiaan ialah Sejarah yang diperkenalkan mulai
Tahap II persekolahan.
Tunjang Keterampilan Diri
Tunjang Keterampilan diri memberi penekanan kepada pemupukan
kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Murid
diberi peluang menyepadukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di
bilik darjah dan mengamalkannya dalam kegiatan kokurikulum. Penglibatan dalam
kegiatan kokurikulum seperti persatuan, badan beruniform dan sukan memberi
peluang kepada murid meningkatkan potensi diri sebagai pemimpin kepada diri,
rakan sebaya, keluarga dan masyarakat.
Tunjang Sains dan Teknologi
Tunjang Sains dan Teknologi memberi penekanan kepada penguasaan:
• pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
• pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam matematik
• pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi
Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Literasi Sains dan
Teknologi ialah Sains, Matematik, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).
Tunjang Kerohanian, Sikap Dan Nilai
Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai memberi penekanan kepada
bidang pembelajaran yang berfokus kepada penghayatan amalan agama, kepercayaan,
sikap dan nilai. Disiplin ilmu dalam tunjang ini merangkumi Pendidikan Islam
bagi murid Islam dan Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam.
Fokus KSSR
KSSR memastikan selepas enam (6) tahun persekolahan murid mencapai
standard pengetahuan, kemahiran dan nilai yang ditetapkan bagi setiap tahap.
KSSR memberi penekanan kepada 4M iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira dan
menaakul. Kemahiran menaakul adalah keupayaan membuat pertimbangan dan
penilaian dengan menggunakan akal atau logik.
Pada Tahap I, pengajaran dan pembelajaran
menekankan penguasaan asas 4M. Penekanan diberikan untuk literasi dan numerasi
bagi membolehkan murid menguasai kemahiran tersebut. Penekanan juga
diberikan kepada kemahiran nilai tambah iaitu kreativiti dan inovasi,
keusahawanan dan TMK.
Pada Tahap II, penekanan diberikan kepada
pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M di samping menguasai kemahiran TMK,
penguasaan kemahiran yang lebih kompleks, pemerolehan pengetahuan, dan
perkembangan sahsiah.
Organisasi Kurikulum
KSSR diorganisasikan dalam bentuk modular dengan mengelompokkan
mata pelajaran dalam kumpulan tertentu yang dikenali sebagai modul. Mata
pelajaran juga diorganisasikan secara modular iaitu kandungan mata
pelajaran disediakan dalam bentuk modul yang kendiri-lengkap (self-contained).
Setiap modul mengandungi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah dikenal
pasti untuk dikuasai oleh murid.
Organisasi Tahap I
Pada Tahap I kurikulum diorganisasikan dalam Modul Teras Asas,
Modul Teras Tema dan Modul Elektif. Komposisi KSSR Tahap I adalah seperti
jadual di bawah.
Modul Teras Asas
Modul Teras Asas merangkumi bidang pembelajaran asas yang terdiri
daripada Modul Bahasa, Modul Matematik, Modul Pendidikan Jasmani, dan Modul
Pendidikan Kesihatan. Modul-modul ini mesti dipelajari oleh semua murid.
Modul Pendidikan Islam mesti dipelajari oleh murid beragama Islam,
manakala Modul Pendidikan Moral dipelajari oleh murid bukan beragama Islam.
Modul Teras Tema
Modul Teras Tema menggabungkan beberapa disiplin ilmu dalam satu
modul. Terdapat dua modul Teras Tema iaitu Dunia Kesenian dan Dunia Sains dan
Teknologi (DST). Dunia Kesenian terdiri daripada Dunia Seni Visual dan Dunia
Muzik. DST pula menggabungkan disiplin Sains, Reka Bentuk Teknologi (RBT) dan
Teknologi Maklumat & Komunikasi (TMK). Modul Teras Tema mesti dipelajari
oleh semua murid.
Modul Elektif
Modul elektif merupakan pilihan disiplin bahasa yang ditawarkan
kepada murid seperti Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil
Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun. Modul ini ditawarkan
untuk membolehkan murid berkemahiran dalam pelbagai bahasa.
Pihak sekolah perlu memilih untuk melaksanakan sekurang-kurangnya
satu bahasa dalam Modul Elektif mengikut kesediaan sekolah dalam aspek
penyediaan guru, permintaan daripada murid serta prasarana sekolah.
Organisasi Tahap II
Pada Tahap II, kurikulum diorganisasikan secara modular dalam Mata
Pelajaran Teras dan Mata Pelajaran Elektif. Kandungan mata pelajaran disediakan
dalam bentuk modul. Komposisi KSSR Tahap 2 adalah seperti jadual di
bawah.
Kurikulum Berasaskan Standard
KSSR digubal dalam bentuk pernyataan standard. Pernyataan standard
terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran yang perlu
dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan.
Elemen Merentas Kurikulum (EMK)
Elemen Merentas Kurikulum ialah unsur nilai tambah yang diterapkan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran selain yang ditetapkan dalam standard
kandungan. Elemen-elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan
keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa
dan masa hadapan. Elemen merentas kurikulum yang sedia ada adalah seperti
Bahasa, Sains dan Teknologi, Pendidikan Alam Sekitar, Nilai Murni dan
Patriotisme.
Elemen merentas kurikulum yang baharu, iaitu Kreativiti dan
Inovasi, Keusahawanan, serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi dikenal pasti
sebagai pelengkap kepada usaha memantapkan kualiti pelaksanaan KSSR.
Guru hendaklah memastikan kesemua elemen merentas kurikulum
diterapkan secara efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran demi
melahirkan insan yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Hubungan elemen merentas kurikulum yang sedia ada dan baharu dalam
pembangunan insan yang seimbang digambarkan melalui rajah di bawah.
PERBEZAAN KBSR DAN KSSR
Bahagian Pembangunan Kurikulum,
Kementerian Pelajaran Malaysia (2010). Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
Buku Penerangan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah
No comments:
Post a Comment